Friday, August 13, 2010


Belum terlambat lagi rasanya untuk pihak kami mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak,di mana bulan ini adalah bulan yang penuh dengan barakah dan terbukanya pintu-pintu taubat dan rahmat daripada Allah SWT.

Sudah tentunya pada bulan yang penuh dengan rahmat ini umat Islam tidak ketinggalan untuk merebut ganjaran pahala dengan meningkatkan amalan ibadat sekaligus mendekatkan diri dengan Allah SWT menerusi keimanan dan ketaqwaan kepadaNya.

Di Universiti Malaysia Kelantan,beberapa program telah dan akan dijalankan,ia termasuk solat tarawikh berjemaah di khemah yang disediakan,kuliah zohor,tadarus Al-Quran,ceramah Badar Qubra,Majlis Berbuka Puasa,Qiamullail dan banyak lagi.Sekalung tahniah diucapkan kepada badan-badan yang terlibat termasuk juga Jawatankuasa Teman dan Biro Pembangunan Nilai & Integrasi yang bertungkus lumus demi memastikan program-program pembangunan nilai di universiti ini terus aktif.

Namun begitu,sedikit kekecewaan ingin diluahkan,walaupun berada di bulan yang suci ini,masalah sosial di Universiti Malaysia Kelantan masih lagi berada di tahap yang sama.Sebagai pusat menuntut ilmu dan medan intelektual,tidak sepatutnya tempat-tempat sebegini lebih-lebih lagi universiti menjadi tempat bercambahnya gejala sosial.

Pro-Mahasiswa UMK ingin membawa isu ini sebagai isu amat penting yang perlu diambil tahu oleh semua pihak.Sejak kebelakangan ini beberapa orang mahasiswa telah melahirkan rasa kerisauan dan kekecewaan mereka terhadap gejala sosial yang berlaku di UMK khususnya pada waktu malam.Bilangan pasangan kekasih sudah semakin bercambah sekaligus boleh merosakkan imej universiti selaku tempat melahirkan para graduan yang suatu masa nanti bakal memimpin masyarakat.

Selain itu,pihak Pro-M juga melahirkan rasa kecewa atas sambutan dan kehadiran segelintir mahasiswa yang boleh dikatakan agak dingin terhadap program-program ilmiah yang dianjurkan oleh pihak Universiti dan pihak MPP.Realitinya,lihat sahajalah,beberapa program termasuk ceramah-ceramah keusahawanan,ceramah ilmiah,program budaya ilmu dan program ilmu yang lain.Secara jujur dikatakan,kehadiran sesetengah daripada mereka bukanlah atas tanggungjawab ataupun keinginan untuk menuntut ilmu,tetapi ada yang hadir semata-mata untuk menandatangani borang kehadiran.Masakan tidak,jika tidak ditanda,tentulah terkesan kepada rekod jam kredit mereka.

Namun begitu,apabila adanya program-program berunsur hiburan,berkerumun mahasiswa datang menghadirinya.Tanpa memerlukan publisiti yang luas,mana-mana program berunsur hiburan ataupun kebudayaan yang diadakan di UMK,sudah tentu 'tidak cukup tempat duduk' dan sentiasa sahaja penuh dengan hadirin.

Pihak Pro-Mahasiswa melihat situasi ini sebagai situasi yang amat parah kepada imej mahasiswa khususnya mahasiswa UMK.Perlu diketahui,universiti adalah tempat menuntut ilmu,berkongsi ilmu dan mengamalkan budaya keilmuan,bukannya tempat berpesta dan bersuka ria.Pihak pro-M bukan bersifat prejudis terhadap hiburan,jauh sekali anti-hiburan.Namun,apa yang kami harapkan,mahasiswa UMK perlulah berpada-pada dalam berhibur.Kita sudah tentunya tidak mahu mahasiswa terpalit dengan gejala sosial seperti lebih-lebih lagi gejala maksiat,gejala anak luar nikah dan perbuatan yang tidak sepatutnya.Dalam soal ini,pihak Pro-M bukannya mahu mengutuk mereka yang menghadiri program-program hiburan tersebut,tetapi pihak Pro-M mahu mentaliti mahasiswa yang sukakan kepada hiburan semata-mata ditukar kepada mahasiswa yang cinta kepada budaya ilmu dan budaya intelektual.Sekaligus mengangkat semula martabat mahasiswa selaku agen perubahan dan golongan yang beridealisme serta menjadi harapan tinggi kepada masyarakat dalam menjana arus perubahan dan pembangunan negara.

Justeru,sempena bulan Ramadhan yang mulia ini,diharapkan mahasiswa UMK mampu bermuhasabah diri memikirkan sebaik-baiknya sejauh manakah peranan dan tanggungjawab mereka.Mahasiswa yang mempunyai pegangan agama,nilai dan budaya yang teguh adalah mahasiswa yang mapan dan utuh sekaligus menjadi modal insan yang berguna kepada agama,masyarakat dan negara.

Selain itu,di kesempatan ini,Pro-Mahasiswa UMK menyeru kepada mahasiswa UMK khususnya kaum muslimin dan muslimat untuk menjadikan bulan ini sebagai bulan mengawal nafsu dan bulan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.Mudah-mudahan,dalam masa melahirkan modal insan yang berkualiti dalam menjana arus perubahan negara,keimanan dan ketaqwaan kepadaNya juga amat penting sebagai modal di akhirat kelak.Wallahu'alam.

Monday, August 9, 2010

Pro mahasiswa bukanlah sebuah persatuan atau pertubuhan pelajar, tetapi pro mahasiswa adalah suara bersama pelajar atau mahasiwa yang berkesedaran tentang perlunya suatu pendirian atau prinsip yang mendokong supaya mahasiswa di mana-mana IPT dijenamakan semula bagi memenuhi keperluan kepemimpinan negara dan masyarakat.
Pro mahasiswa merupakan suatu pakatan yang terdiri daripada persatuan-persatuan atau mana-mana individu yang menyokong satu usaha menuntut hak mahasiswa di kampus dan usaha untuk melahirkan golongan mahasiswa yang berkaliber, berakhlak mulia, berani bersuara dan mampu membawa negara ke mercu jaya pada masa akan datang.

Objektif Pro mahasiswa:

1)Mewujudkan semangat idealisme dalam kalangan mahasiswa agar mahasiswa menjadi agen perubahan dan golongan intelek yang mampu membawa perubahan kepada negara.

2)Melahirkan mahasiswa yang berakhlak mulia yang mempunyai pendirian tersendiri,survival,matang,berani dan indipenden tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.Melahirkan generasi mahasiswa yang tidak lagha daripada terjerumus ke dalam budaya hedonisme yang mampu merencatkan keintelektualan mahasiswa.

3)Mewujudkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa supaya mengetahui peranan-peranan mereka di kampus universiti.

4)Memperjuangkan hak-hak mahasiswa khususnya di UMK supaya kebajikan mahasiswa sentiasa dipelihara.

Selaras dengan falsafah gerakan pelajar,Pro-Mahasiswa mengambil contoh daripada kata-kata Ungku Abd Aziz, "belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar"

Gerakan pelajar merupakan satu gerakan yang dipelopori segolongan anak muda yang menuntut di universiti. Gerakan pelajar muncul apabila ketidak-adilan sosial yang berlaku dalam masyarakat termasuk tribulasi dalaman yang dilakukan oleh penguasa universiti. Akibat tekanan yang hebat, mahasiswa telah mengambil langkah drastik bagi menonjolkan protes mereka melalui demonstrasi jalanan. Mahasiswa mempunyai falsafah perjuangan yang tersendiri berasaskan kesedaran dan kepekaan dalam permasalahan politik dan isu massa negara.Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada dunia semasa. Elemen ini memberi kesan kepada kehidupan mereka di dalam masyarakat khususnya di kampus.

DENGAN SLOGAN "STUDENT POWER" & "WE UNITE FOR UMK" diharapkan Pro-Mahasiswa dapat menyatukan mahasiswa UMK khususnya yang berbilang bangsa untuk menggerakkan idealisme mahasiswa sekaligus menjulang kegemilangan varsiti yang tercinta.
 


Blogger Template By LawnyDesignz