Thursday, March 31, 2011

Oleh:Ikhwan Syafaat b. Jalaini


Isu mahasiswa berpolitik boleh dikira sebagai satu isu yang sudah 'antik' disebabkan isunyasudah terlalu lama dibincangkan tetapi masih bernilai. Banyak saluran telah di gunakan untuk mengumpul pandangan berkaitan isu berkenaan melalui dialog, forum, perbahasan, kajian, perbincangan dan sebagainya bertujuan membincangkan secara 'halus' apakah adanya ruang kewajaran untuk mahasiswa dibolehkan berpolitik.


Berhubung isu ini saya berpendirian bahawa sudah tiba masanya Mahasiswa diberi greenlight untuk berpolitik di kampus mahupun di luar kampus atas alasan yang jelas dan konkrit iaituuntuk sama-sama berusaha membina pelapis barisan kempimpinan generasi muda yang matang, progresif, intelektual, dan berdaya tahan


Banyak alasan telah diberikan untuk tidak membenarkan mahasiswa berpolitik. Antara alasan yang gemar dinyatakan ialah prestasi akademik akan jatuh merosot sekiranya berpolitik. Selain itu, bimbang akan wujudnya semangat kepartisan dan 'assabiyah' dalam kalangan mahasiswa hari ini. Sekiranya berlaku begini kesan akhirnya mahasiswa akan berpecah belah dan merugikan masa depan mereka. Ini adalah antara alasan yang banyak dicanangkan. Maka dengan itu, kebenaran berpolitik yang dianggap sebagai peluang terbaik untuk membina acuan pemimpin muda yang berkualiti pada masa hadapan terpaksa 'dikambus' dan terus dipandang sebelah mata. Dari satu sudut yang lain, kebenaran untuk mahasiswa berpolitik ini terpaksa disekat adalah kerana pihak tertentu mengandaikan bahawa mahasiswa hari ini ramai dari kalangan yang menyokong parti pembangkang. Jadi langkah menyekat ini lebih cenderung d

ilihat sebagai satu taktik demi 'menjaga' undi. Jika betul inilah alasannya maka Mahasiswa hari ini akan mula ketawa kepada mereka yang berkenaan.


Kepada mereka yang menyatakan tidak setuju kepada isu ini, adalah perlu juga untuk kita berfikir secara positif. Pertama mari kita fikirkan apakah makna sebenar politik itu?Apakah yang dituntut dalam berpolitik? Adakah perlu kita menafikan peranan politik itu sebahagian daripada tanggungjawab khususnya dalam agama Islam? Bagaimana peranan dan corak politik yang ingin dibawa oleh anak muda hari ini?


Hakikatnya politik itu adalah suatu perkara yang baik dan bersih. Ianya berperanan untuk manusia menguruskan kehidupan mereka dengan cara yang terbaik sepertimana yang digesa oleh al-Quran dan As-Sunnah. Berperanan menyusun atur kehidupan masyarakat dengan lebih teratur. Berperanan menentang kezaliman. Benci akan penindasan. Menidakkan segala yang mungkar. Mengangkat nilai keadilan. Inilah politik yang di anjur dalam Islam. Cuma ianya telah di kotorkan oleh tangan-tan

gan kita sendiri. Dikotorkan oleh hati-hati kita sendiri. Dikotorkan oleh mulut-mulut kita sendiri. Dikotorkan oleh akal kita sendiri. Maka hasilnya segelintir daripada mereka di luar sana mengatakan politik itu kotor lalu dijauhkan diri darinya.


Perlu kita fahami terlebih dahulu apa sebenarnya asas kepada politik itu sendiri. Politik di dalam bahasa Arab dikenali dengan istilah siyasah. Asal usul siyasah pula diterapkan pada pengurusan dan latihan penggembalaan. Begitu juga dalam perkataan orang Arab ada dikatakan : ‘Bagaimana mungkin rakyatnya terpelihara bila pemeliharanya seperti lebah, maknanya bagaimana mungkin keadaan rakyat akan baik bila pemimpinnya seperti lebah yang meyakiti orang lain.' Politik juga merupakan pemeliharaan (ri’ayah), perbaikan (ishlah), pelurusan (taqwim), pemberian arah petunjuk (irsyad), dan pendidikan (ta`dib).Lalu, ungkapan tersebut diguna dalam pengaturan urusan-urusan manusia. Dalam konteks bahasa Arab dikatakan s

ebagai ulil amri iaitu yang menguruskan (yasûsu) rakyatnya, mengaturnya, dan menjaganya.


Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya : "Adalah Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah" (HR. Bukhari dan Muslim).


Menurut Lenin, seorang ahli reformis dari Rusia berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ). Manakala, seorang ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).


Jadi di sini fahamlah kita bahawa politik atau siyasah itu menuntut kita supaya menguruskan urusan masyarakat serta berusaha membina kehidupan rakyat dengan cara yang terbaik. Berkecimpung dalam politik bererti bertindak untuk menjadikan keadaan kaum, masyarakat, negara dan agama supaya lebih baik dengan cara menidakkan kezaliman penguasa kepada rakyat dan berusaha membantu kerajaan melenyapkan kepincangan yang bermaharajalela. Untuk itu perlu pada kita mengetahui apa yang dilakukan oleh penguasa atau kerajaan dalam rangka membantu menguruskan urusan masyarakat dan juga rakyat, mengingkari keburukannya, menasihati pemimpin yang 'bertopeng', menentang penguasa yang tindas akan rakyatnya, serta memeranginya pada saat terjadi kekufuran yang nyata.


Ini adalah perintah Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Berkaitan dengan persoalan ini Nabi Muhammad SAW bersabda : "Siapa saja yang bangun pagi dengan gapaiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namun tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka ia bukan dari golongan mereka." (HR. Al Hakim)


Rasulullah ditanya oleh sahabat tentang jihad apa yang paling utama. Baginda menjawab :"Kalimat haq yang disampaikan pada penguasa" (HR. Ahmad).


Berbalik kepada isu ini iaitu memberi kebenaran dan kebebasan kepada Mahasiswa untuk berpolitik. Mengapa saya kata perlu? Pertama, anak muda khususnya Mahasiswa yang meminta untuk berpolitik ini sebenarnya sedang meminta supaya mereka di beri ruang yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mereka memberi pandangan, keluhan, cadangan, kritikan, nasihat dan teguran kepada pemimpin-pemimpin kerajaan mahupun pembangkang dalam apa jua dasar atau perkara yang dirasakan perlunya penglibatan Mahasiswa. Ruang ini akan digunakan oleh Mahasiswa khususnya anak muda generasi baru ini untuk mengutarakan idea-idea dan impian mereka sebelum memegang tampuk kepimpinan negara. Asasnya di sini ialah Mahasiswa sekadar menjadi pemerhati yang akan menyemak 'imbangan' politik yang dimainkan oleh pemimpin samada dari kerajaan mahupun pembangkang.


Dalam imbangan ini Mahasiswa akan bersuara sekiranya mana-mana pemimpin daripada mana-mana parti ada melakukan kesalahan, penyelewangan, pecah amanah atau apa jua bentuk kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pemimpin. Platform ini juga bakal digunakan oleh Mahasiswa untuk menyatakan pandangan terhadap dasar-dasar kerajaan baik diperingkat Negeri mahupun Persekutuan. Apa jua dasar yang difikirkan elok dan baik kepada rakyat, pembangunan negara dan juga keutuhan agama, maka Mahasiswa akan sama-sama bekerjasama menjayakan dasar tersebut. Tetapi sekiranya sesuatu dasar itu difikirkan Mahasiswa tidak relevan atau tidak sepatutnya diadakan maka Mahasiswa akan menegur dan mengusulkan cadangan di peringkat anak muda. Inilah apa yang diharapkan dengan kebenaran untuk berpolitik. Politik untuk menjadi lebih baik. Apa yang menjadi masalahnya sekarang ialah, kebanyakkan dasar-dasar yang dilaksana oleh kerajaan sekarang adalah tidak selari dengan apa yang diimpikan oleh anak muda. Maka apabila ditentang anak muda terus 'dicop' sebagai kumpulan pembangkang. Walhal anak muda menentang pemimpin-pemimpin yang 'corrupt' baik kerajaan mahupun pembangkang.


Kedua, mengapa perlunya berpolitik adalah disebabkan kurangnya kepekaan dalam kalangan anak muda tentang perjalanan dan isu-isu penting dalam dan luar negara. Sistem pendidikan negara yang masih membelenggu anak muda dengan budaya 'belajar untuk exam' ini masih banyak berlaku dalam kalangan Mahasiswa. Rata-rata kebanyakkan Mahasiswa menyediakan diri masing-masing hanya untuk persiapan peperiksaan dan juga bersaing untuk mendapat pengiktirafan dalam bidang yang di ambil. Jadi pada mereka untuk menyibukkan diri dalam perkara-perkara nasional dan aktiviti luar bilik kuliah dianggap tidak penting dan hanya membuang masa. Kesan langsungnya hanyalah menjadikan Mahasiswa itu lebih jumud dan kurang kualiti. Bayangkan masih ada Mahasiswa di luar sana masih tidak tahu tentang kenaikan harga minyak. Masih ada juga yang tidak tahu tentang rasuah yang berakar umbi dalam negara dengan begitu parah. Masih ada juga yang tidak tahu akan tanggungjawabnya apabila berusia sudah 21 tahun nanti. Soalnya sekarang, mengapa penting untuk Mahasiswa mengetahui dan mengambil tempat dalam perkara-perkara dan isu-isu yang berlaku dalam dan luar negara?




Hal ini kerana tiada pemimpin yang tidak pernah menjadi anak muda. Jelas sekali yang menjadi pemimpin semuanya pernah menjadi anak muda lebih-lebih lagi menjadi Mahasiswa. Tempat anak muda akhirnya berada di tampuk pimpinan negara. Untuk menjadi pemimpin yang terbaik bukannya bermula dari satu hari, bukan bermula dari satu minggu, bukannya bermula dari satu tahun tapi perlulah bermula dari seawal kelahiran. Menjadi pemimpin perlulah diberi ruang dan kesempatan untuk anak muda membina kepimpinan mereka sendiri. Mereka perlu diberi ruang untuk berfikir dengan begitu matang. Berfikir dengan memandang ke hadapan. Berfikir dengan penuh kesedaran. Berfikir dengan tujuan kebajikan. Berfikir dengan penuh keinsafan.Berfikir dengan demokrasi terpimpin. Kerana Mahasiswa bila bersuara tidak ada sebarang perolehan. Mereka tiada sebab untuk mengaut keuntungan sebelah tangan. Mereka juga tiada sebarang kepentingan bila bersuara. Apa yang menjadi pendorong untuk mereka bersuara hanyalah untuk kepentingan sejagat. Sekiranya peluang untuk mendapatkan pandangan anak muda ini masih di pandang sebelah mata, maka tiada guna lagi laungan Modal Insan Kelas Pertama ini perlu di jaja.


Ketiga, mengapa perlunya Mahasiswa berpolitik ialah ketika mana anak muda berani membicarakan isu-isu di peringkat nasional, ianya dilihat lebih berkesan mendidik Mahasiswa menjadi pemimpin yang progresif pada masa hadapan. Ini adalah kesan langsung yang dapat dipupuk secara semulajadi sekiranya anak muda diberi galakan dan ruang yang betul. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar. Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka. Anuar Ahmad, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ada menyatakan "politik dan pelajaran bagi mahasiswa adalah salah satu komponen yang selari yang harus dibangunkan untuk menjadikan pelajar dan modal insan yang cemerlang". Beliau tidak menafikan semangat berpolitik yang menebal dalam diri mahasiswa merupakan mekanisme yang baik ke arah mendokong asas demokrasi dan ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang. Di samping itu, kesedaran politik di kalangan mahasiswa amat diperlukan untuk menggerakkan mahasiswa supaya aktif dan peka dengan persekitaran mereka.


Namun, sejak akhir-akhir ini sering kedengaran seruan agar mahasiswa tidak terlibat dengan politik. Tujuan datang ke universiti ialah untuk belajar bukannya berpolitik. Dalam perkembangan dunia sekeliling, ilmu pengetahuan kini menjadi modal kehidupan yang amat berharga. Nilai ilmu yang berbagai-bagai itu sendiri adalah merupakan asas dalam mewujudkan suasana kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Justeru generasi mahasiswa tidak boleh tertinggal dan terpengaruh dengan gejala yang menyekat kemaraan bagi meneruskan pencarian ilmu. Ilmu itu perlu dicari dan difahami dengan sebaiknya. Ilmu itu tidak akan bermakna jika ia tidak disertakan dengan pemahaman yang mendalam mengenainya.Cabang-cabang ilmu haruslah di pelajari oleh Mahasiswa dimana tidak hanya menjumudkan minda terhadap ilmu dalam kelas dan nota-nota kuliah semata-mata. Sebaliknya amatlah diharapkan mahasiswa dapat meluaskan horizon kecerdikan mereka dengan mengambil langkah yang bijak dengan bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum sebahagiannya dalam politik kampus. Jadi laluan politik itu adalah kiraan laluan yang baik untuk mencapai cabang ilmu yang berbagai itu.


Sebagai penutup, mahasiswa dan politik sebenarnya berkait dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Jadi persoalan, adakah relevan mahasiswa berpolitik sebenarnya tidak sepatutnya dibahaskan selagi mana akademik masih menjadi keutamaan mereka. Mahasiswa mempunyai hak untuk menyatakan suara mereka dan mengetahui isu-isu politik semasa selaras dengan asas negara demokrasi. Di samping itu, diharapkan mahasiswa dapat membuka mata mereka agar tidak melihat politik sebagai sesuatu yang enteng atau kotor kerana ianya memberi imej yang besar kepada arus politik tanah air pada masa hadapan. Penglibatan mahasiswa dalam politik juga sedikit sebanyak dapat mematangkan diri dan menimba pengalaman serta menyiapkan diri mahasiswa dengan pengalaman dan kepimpinan untuk memimpin negara kelak.



*Penulis adalah Naib Yang DiPertua I Majlis Perwakilan Pelajar UMK 2011 merangkap Duta Pro-Mahasiswa UMK.Beliau juga adalah mahasiswa Tahun 2,Fakulti Keusahawanan & Perniagaan (FKP) Universiti Malaysia Kelantan

Wednesday, February 23, 2011


Alhamdulillah! Allahuakbar!
Itu sahajalah yang mampu diucapkan oleh para pendokong Pro-Mahasiswa sebaik sahaja pengumuman calon Majlis Perwakilan Mahasiswa UMK yang menang selesai.Setelah melalui badai berduri,peristiwa konflik dan menghadapi fitnah dan tribulasi melampau,akhirnya kumpulan demokratik anak muda yang terdiri daripada pelbagai ideologi,bangsa,agama dan latarbelakang ini memperoleh kejayaan yang manis daripada perjuangan mereka apabila lebih setengah kerusi MPM-UMK 2011 diisi oleh calon yang mendokong agenda Pro-Mahasiswa.

Pilihanraya Kampus kali ke-3 ini mencipta sejarah yang ulung buat mahasiswa bahawa Majlis Perwakilan Mahasiswa ataupun pemimpin mereka tidak mudah dicatur dan diperkotak-katikan.Mahasiswa UMK memberi signal yang jelas bahawa mereka mahukan perubahan yang drastik dilakukan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa ini daripada menjadi lesu dan tidak bermaya menjadi energetik,bebas dan lantang bersuara demi hak mereka.Mahasiswa mahukan suara yang kuat di dalam MPM supaya isu-isu kebajikan mereka diselesaikan dengan segera.

Gelombang Oren yang dilancarkan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan mahasiswa.Perkataan "Pro-M" dan "Gelombang Oren" menjadi topik perbincangan mahasiswa,berbeza dengan PRK yang sebelum ini dilihat lesu dan muram.Gelombang Oren inilah yang memberikan momentum kemenangan yang hebat kepada Pro-Mahasiswa.

Gelombang kemenangan ini juga turut merebak hampir ke seluruh IPTA termasuk kemenangan Pro-M di Universiti Malaya (UM),Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (USMKK),Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Universiti Islam Antarabangsa (UIA),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),Universiti Malaysia Sabah (UMS),Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan juga Universiti Industri Selangor (Unisel).Tahniah diucapkan!

Di UMK,calon-calon Pro-Mahasiswa mendapat undian yang tertinggi di dalam kerusi UMUM.Pro-M menguasai 3 daripada 4 kerusi UMUM,1 di Fakulti Keusahwanan & Perniagaan (FKP),1 di Fakulti Agro-Industri & Sumber Asli dan 1 lagi di Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan,yang menang tanpa bertanding.Kerusi yang selebihnya dimiliki oleh Calon Bebas.Kali ini tidak ada kewujudan pro-Aspirasi.

Pro-Mahasiswa UMK ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi yang memberikan undi kepada calon-calon kami.Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada hampir 50 mahasiswa yang menjadi jentera Pilihanraya Kampus,sehinggakan ada yang bersengkang mata untuk membantu menaikkan poster dan menampal manifesto.Terima kasih juga diucapkan kepada mahasiswa tahun akhir yang menjadi inspirasi perjuangan ini,mahasiswa daripada komuniti cina dan india serta lain-lain,Presiden-presiden persatuan yang sentiasa memberi sokongan dan tidak lupa juga kepada para pensyarah yang menyokong kami.

Buat pemimpin mahasiswa yang menang,jalankanlah amanah yang diberikan ini dengan saksama,kami menghormati segala keputusan yang dilakukan oleh MPM dan berdiri teguh di belakang MPM bagi membangunkan mahasiswa dan varsiti tercinta.Bersama menjulang kegemilangan varsiti! We unite for UMK!

Lajnah Penerangan Pro-Mahasiswa UMK

Sunday, February 13, 2011

Dewasa kini, pilihanraya kampus (PRK) seakan-akan terjadi perkuburan lama yang sunyi dan ngeri akibat kekangan AUKU. Ini juga berikutan kurang pendedahan dan ketidakfahaman mahasiswa IPT tentang peri pentingnya dan ertinya sebuah 'demokrasi mahasiswa.'

Umum lebih melihat daripada sudut Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan pihak Aspirasi di IPT mereka seakan-akan dua pihak yang suka bergaduh tanpa noktah. Segala isu yang dibawa setiap tahun hampir sama iaitu menjaga kebajikan mahasiswa tetapi sebahagian besar mahasiswa meragui janji-janji mereka.

Berbalik kepada isu pilihanraya kampus pada kali ini lengang dan sunyi, selaku mahasiswa tidak dapat tidak kita perlu berbalik kepada objektif dan piroriti kita ke IPT. Tiada salah mahasiswa berpencak politik di kampus. Masing-masing dengan dengan cara masing-masing. Akan tetapi sudah semestinya tunjang akademik yang seharusnya dikejar dan tidak ditinggalkan. Prof. Emeritus Datuk Khoo Kay Kim mengungkapkan rasa kecewanya pada satu temu bualnya dengan rakan penulis, beliau melihat budaya mahasiswa kini semakin kurang berdaya saing dan berintelektual.

Beliau menambah jika 30 tahun dahulu, suasana di universiti-universiti terutamanya di Universiti Malaya seperti sebuah pesta ilmu di mana terlampau banyak diskusi yang dianjurkan untuk menambahkan keintelektualan mahasiswa. Akan tetapi pada masa kini ia seakan-akan pupus dan ditelanjangkan gara-gara budaya ilmu yang kian pudar.

Jika dahulu perhimpunan-perhimpunan dan suara-suara mahasiswa benar-benar jelas menunjukkan mahasiswa benar-benar menghayati isu rakyat tetapi pada masa kini ia hanya tinggal kenangan. Jika ada, mahasiswa tersebut dilabel sebagai 'pembangkang' dan 'pengacau' universiti. Muhamad Abu Bakar di dalam bukunya Mahasiswa Menggugat membuat kesimpulan bahawa perhimpunan dan perjuangan mahasiswa adalah berpunca “dari perasaan tidak puas hati terhadap sistem yang ada, kesedaran bahawa mereka boleh membuat pembelaanb terhadap masyarakat dan anggapan bahawa generasi mereka mempunyai peranan tersendiri dalam pembentukan zaman”.

Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) atau kini telah diubah kepada Majlis Perwakilan Pelajar (sengaja diubah untuk mematikan semangat mahasiswa) pada hari ini kelihatan seperti sebuah badan ekslusif dan badan yang gemar makan angin. Sehinggakan ada jenaka yang mengatakan kebanyakan MPM hanya tahu pergi ke luar negara kononnya mahu mengharumkan nama universiti tetapi yang dapat hanya 'haruman perfume luar negara saja' Ini jelas berlaku terutama di universiti-universiti yang senior di Malaysia.

PRK seharusnya berpaksi kepada demokrasi yang sebenar iaitu memperjuangkan isu mahasiswa, masyarakat dan nasional. Berpaksikan kepihatinan dan keadilan maka setiap mahasiswa haruslah menilai bahawa pilihanraya kampus bukanlah satu permainan tanpa wacana ilmu tetapi sebuah medan meningkatkan intelektual dan juga menggilap bakat kepemimpinan negara pada masa akan datang. Semua pihak haruslah berperanan sama meningkatkan keprihatianan dalam kelemahan kesedaran terhadap pendemokrasian kampus ini, ini kerana jika kita tidak serius, mahasiswa yang bakal lahir tidak lebih dari “robot-robot manusia” yang langsung tidak mengerti matlamat hidup dan makna perjuangan serta jiwa nurani menjadi keras dan gersang.

Mahasiswa seharusnya sedar bahawa PRK bukanlah hanya satu wadah memperjuangkan nasib mahasiswa, tetapi merupakan taman ilmu 'garden of knowledge' yang menghubungkan antara idealisme, realisme, aktivisme dan intelektualisme peringkat mahasiswa. Mahasiswa seharusnya menilai diri masing-masing dan mencabar diri supaya lebih berdaya saing dan berilmu yang bukan hanya di lapangan kuliah tetapi di persada mahasiswa dan masyarakat. Jika kita dapat menggilap bakat mahasiswa pada hari ini supaya menjadi 'the good leader of student' tidak mustahil untuk menjadi pemimpin negara yang hebat dan berintegriti pada masa hadapan. Maka wadah pilihanraya inilah perlu diambil peluang oleh mahasiswa untuk terus ke hadapan.

Benar kata hukama, “Ilmu itu bukan hanya di buku, tapi diakal dan dirimu agar kamu gunakannya untuk menjadi pemimpin diri yang berani”

Sunday, January 30, 2011

Kita bukan pemimpin masa hadapan,
Kita adalah pemimpin hari ini,
Kita bukan punca masalah,
Kitalah penyelesainya,
Kita merungut tentang sistem,
Kita mengadu tentang bagaimana kita tidak dilayan seperti orang dewasa,
Kita menunggu masa untuk bertindak,
Nah sekarang masanya kita tunjukkan,
Bukan masanya kita menanti pembangkang untuk mewakili suara kita,
Bukan masanya kita menunggu kerajaan untuk berbuat sesuatu,
Usah gentar ketakutan,
Kita punya mulut dan tangan,
Mari bersama lakukan,
Ayuh bersatu,
Kita wujudkan kembali kesatuan mahasiswa kebangsaan yang telah lama bersemadi,
Ia kebuntuan menunggu untuk diberi nyawa baru oleh orang-orang muda,
Mari kita tubuhkan kesatuan yang berdiri dengan usaha sendiri,
Sebuah pertubuhan berdikari,
Bukan memohon-mohon,
Bukan merayu-rayu,
Tapi berubah…!!!

Wednesday, January 26, 2011



Pro-Mahasiswa UMK wishes you all a Happy Chinese New Year & Happy Holiday..
Let's celebrate this festival with unity and prosperity!!
STUDENT POWER!

Wednesday, January 12, 2011

KOTA BHARU,13 JAN-Universiti Malaysia Kelantan yang sudah beroperasi selama 4 tahun kini mempunyai populasi mahasiswa sebanyak 2,000 orang.Kapasiti kampus sementara UMK yang terletak di Pengkalan Chepa kini sudah mencapai tahap yang maksimum dan ekoran populasi yang cukup padat ini membuat penggunaan kemudahan asrama secara maksimum dan melebihi hadnya seperti penggunaan air.

Beberapa orang mahasiswa meluahkan rasa kecewa atas sikap pengurusan universiti yang bertangguh dan lambat menyelesaikan masalah ini.Rahimi,mahasiswa Tahun ke-2 daripada Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW) melahirkan rasa kecewa dengan janji-janji manis mereka untuk menyelesaikan masalah ini seperti janji untuk memperbetulkan system yang sedia ada,dan memasang tangki-tangki baru untuk keperluan mahasiswa UMK

Sufian Ismail,mahasiswa tahun akhir FTKW pula kecewa dengan pengurusan universiti yang tidak ada perubahan langsung. “UMK sudah 4 tahun ditubuhkan,aku dah lali dengan masalah ketiadaan air ,sistem peparitan banjir,wifi yang , astro dan sbgainya...takkan dah 4 tahun usia umk,sama je situasi dari dulu hingga sekarang?”

Bagi Siti Rahimah pula, “Ketiadaan air di UMK ini cukup membebankan mahasiswa,kami tidak boleh membasuh baju,mandi untuk bersiap ke kelas serta berwudhuk.Ini ternya mengecewakan”,kata mahasiswa tahun 1 itu.

Masalah ketiadaan air ini bukanlah merupakan satu perkara yang baru,ia telah bermula sejak 3 tahun yang lalu tetapi masalah ini menjadi semakin kritikal sejak setahun yang lalu.Pernah sampai terjadi satu peristiwa di mana beberapa blok kolej kediaman mengalami ketiadaan air hamper sebulan.Bahkan di suatu ketika hamper setiap hari bekalan air tidak mencukupi.Rata-rata mahasiswa terpaksa ke bilik air tingkat bawah blok asrama serta ke blok asrama yang lain.Tambahan pula,mereka terpaksa tunggu berjam-jam untuk mandi kerana terpaksa berkongsi dengan mahasiswa yang lain.

Seorang mahasiswa Tahun 3 pula berkata, “masalah ini cukup membebankan kita,air adalah keperluan asas,kita perlukan air untuk mandi,bersiap ke kelas,membasuh baju,minum dan memasak,mengapa mereka (pihak pentadbiran) tidak mampu menyelesaikannya? Mereka tak rasa apa yang kami rasa,kami cabar supaya duduk dengan kami di kolej kediaman selama seminggu,baru mereka tahu akan siksaan ini.Saban hari mereka menjanjikan untuk memperbetulkan masalah ini,pihak MPP kerap buat kenyataan bahawa mereka sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan perkara ini akan diselesaikan pada tarikh-tarikh tersebut.Terbaru,mereka mengatakan bahawa pihak kontraktor akan memulakan kerja-kerja tapi hanya kata-kata manis sahaja yang dilontarkan.Sekarang mereka menggunakan paip bomba untuk mendapatkan air.Kami sudah tidak tahan,sila lakukan sesuatu atau kami akan mulakan demonstrasi dan menghebahkan kepada media!.”

Pro-Mahasiswa UMK melihat masalah ini adalah berpunca daripada sikap alpa pihak pengurusan yang kerap bertangguh-tangguh dalam melaksanakan pekerjaan.Dikhabarkan daripada pihak MPP bahawa mereka telah mengusulkan banyak perkara,membuat kertas kerja dan kerap berjumpa dengan TNC HEPA bagi menyelesaikan masalah ini.Tetapi semuanya berakhir setakat janji manis di mulut sahaja.Fungsi MPP sebagai badan yang menjaga kebajikan mahasiswa kini hanya omongan kosong sahaja,sejauhmanakah MPP mampu merubah dan menyelesaikan masalah mahasiswa ini sedangkan berapa kerat sahaja kuasa yang mereka ada?

Menurut Naib Presiden 2 MPP UMK yang juga pengerusi pro-mahasiswa UMK,Saudara Hafizuddin,mereka hanya mampu mengusul,membuat kertas kerja,bermesyuarat,bincang dan mendesak pihak atasan untuk melaksanakan kebajikan mahasiswa.Tetapi mereka tidak ada banyak kuasa untuk melaksanakan.Inilah akibatnya apabila mahasiswa tiada autonomi.Jika tahun 60-an dahulu,student union yang dikenali sebagai MPP pada hari ini mempunyai kuasa bebas untuk mentadbir pengurusan universiti,mereka mempunyai kerajaan sendiri dan menguruskan kebajikan mahasiswa dengan cekap dan pantas.Mahasiswa ketika itu mampu menguruskan bas sendiri untuk kegunaan mahasiswa kerana mereka mempunyai autonomi.Sesetengah dasar-dasar universiti ditentukan oleh mahasiswa bahkan mahasiswa menjadi penggerak utama Negara ketika itu.

“Kini autonomi universiti sudah dirampas sejak penggubalan AUKU,mahasiswa sudah tidak mempunyai kuasa dalam menentukan jalan mereka sendiri.Hak-hak mereka telah hilang dan kebajikan mereka tidak terjaga.Mahasiswa kini hanya mampu mengharapkan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah mereka.Kononnya dengan menggunakan prosedur yang betul serta ikut cara mainstream,perkara itu boleh selesai.Namun kebanyakan keputusan tidak menyebelahi mahasiswa dan kadang-kadang membebankan mahasiswa sahaja akibat karenah birokrasi yang rumit”.

Segala bajet-bajet kewangan dari KPT,tabung kebajikan pelajar serta yuran yang diperuntukkan untuk mahasiswa seperti hal kebajikan dan aktiviti semuanya dipegang oleh pihak pentadbiran.Untuk menggunakannya mahasiswa perlu membuat kertas kerja,mengisi borang permohonan dan prosedur-prosedur tertentu yang hanya melambatkan serta membebankan mahasiswa sendiri dan selalunya lambat akibat karenah birokrasi.Kertas-kertas kerja yang kami bentangkan untuk maslahat mahasiswa sehingga kini masih tertangguh dan tidak dilaksanakan.

Kini sudah ada banyak suara mendesak untuk kami berdemonstrasi.Jika tidak mampu membela kebajikan kami,berikan kami autonomi,berikan kami hak untuk menguruskan kebajikan kami.Kami boleh menyelesaikannya.Jika tiada air,kami boleh upah kontraktor untuk pasang tangki baru hari ini juga!”,katanya.

Oleh itu,Pro-Mahasiswa UMK mendesak agar masalah ini diatasi dengan segera oleh pihak terbabit dan mendesak kerajaan memansuhkan peraturan-peraturan dalam AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa lalu mengembalikan autonomi universiti kepada mahasiswa semula!.


Tuesday, December 21, 2010

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu segera menerapkan budaya “inovasi demokrasi”, antara lain membuang amalan karenah birokrasi yang masih mengekang kebebasan para pelajar, kata Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, budaya inovasi perlu bermula dari usia muda, contohnya di kalangan pelajar IPT.

Kata beliau, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda dan banyak pelan transformasi telah dilancarkan, malangnya pelajar masih dikekang oleh karenah birokrasi.

“Contoh karenah birokrasi yang mengekang inovasi pelajar IPT yang perlu dihapuskan segera ialah pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

“Sepatutnya surat dan borang ringkas memadai,” kata beliau pada kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Malah kata beliau, pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti kerana pegawai bercuti dan sebagainya.

“Sepatutnya kelulusan disegerakan kerana hayat keaktifan pelajar adalah mengikut sesuatu semester sahaja, justeru mereka tidak mempunyai tempoh masa yang panjang untuk sesuatu aktiviti,” katanya.

Selain itu kata Saifuddin, pelajar juga dilarang menganjurkan sesuatu aktiviti kerana ia tidak selari dengan minat pegawai. “Sepatutnya pelajar diberi kebebasan untuk menganjurkan aktiviti mengikut minat mereka, kerana yang menyertainya ialah pelajar, bukannya pegawai,” kata beliau lagi.

Malah menurut Ahli Parlimen Temerloh ini, aktiviti pelajar dikekang oleh kekurangan atau ketiadaan peruntukan, tetapi apabila untuk aktiviti lain, maka ada pula peruntukannya. “Sepatutnya seboleh-bolehnya dijimatkan peruntukan supaya pelajar dapat menganjurkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya.

“Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti. Ada kes saya dahulukan duit saya, bukan kerana pelajar minta, tapi kerana IPT lambat keluarkan dana yang dicari pelajar sedangkan pelajar sedang dalam peperiksaan dan dikejar pembekal untuk pembayaran.

“Sepatutnya semakin pelajar bijak mencari dana sendiri, semakin dipermudahkan urusan mereka,” tambah timbalan menteri.

Di samping itu beliau juga mendedahkan bahawa pelajar dimarahi kerana menghubungi menteri atau timbalan menteri, yang terbuka dan suka merapati pelajar, secara langsung secara terus melalui media sosial. “Sepatutnya pelajar digalakkan untuk merapati menteri atau timbalan menteri secara terus,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, budaya inovasi adalah satu daripada nilai aspirasi dalam gagasan 1 Malaysia.

Katanya, budaya inovasi merujuk kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan.

“Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan dalam setiap bidang.

“Kreativiti melibatkan pemikiran, idea dan gagasan baru manakala inovasi meliputi penambahbaikan dan penyesuaian kepada kreativiti yang sedia ada hingga memberi nilai tambah yang boleh digunakan termasuk dalam bentuk barangan dan perkhidmatan dengan bermanfaat, termasuk boleh dikomersialkan.

“Inovasi tidak boleh dikhususkan atau dihadkan dalam bidang sains dan teknologi semata-mata. Sebaliknya, ia perlu diamalkan dalam setiap bidang, termasuk dalam politik, iaitu dengan melakukan inovasi politik atau inovasi demokrasi,” katanya.

 


Blogger Template By LawnyDesignz