Thursday, March 31, 2011

Oleh:Ikhwan Syafaat b. Jalaini


Isu mahasiswa berpolitik boleh dikira sebagai satu isu yang sudah 'antik' disebabkan isunyasudah terlalu lama dibincangkan tetapi masih bernilai. Banyak saluran telah di gunakan untuk mengumpul pandangan berkaitan isu berkenaan melalui dialog, forum, perbahasan, kajian, perbincangan dan sebagainya bertujuan membincangkan secara 'halus' apakah adanya ruang kewajaran untuk mahasiswa dibolehkan berpolitik.


Berhubung isu ini saya berpendirian bahawa sudah tiba masanya Mahasiswa diberi greenlight untuk berpolitik di kampus mahupun di luar kampus atas alasan yang jelas dan konkrit iaituuntuk sama-sama berusaha membina pelapis barisan kempimpinan generasi muda yang matang, progresif, intelektual, dan berdaya tahan


Banyak alasan telah diberikan untuk tidak membenarkan mahasiswa berpolitik. Antara alasan yang gemar dinyatakan ialah prestasi akademik akan jatuh merosot sekiranya berpolitik. Selain itu, bimbang akan wujudnya semangat kepartisan dan 'assabiyah' dalam kalangan mahasiswa hari ini. Sekiranya berlaku begini kesan akhirnya mahasiswa akan berpecah belah dan merugikan masa depan mereka. Ini adalah antara alasan yang banyak dicanangkan. Maka dengan itu, kebenaran berpolitik yang dianggap sebagai peluang terbaik untuk membina acuan pemimpin muda yang berkualiti pada masa hadapan terpaksa 'dikambus' dan terus dipandang sebelah mata. Dari satu sudut yang lain, kebenaran untuk mahasiswa berpolitik ini terpaksa disekat adalah kerana pihak tertentu mengandaikan bahawa mahasiswa hari ini ramai dari kalangan yang menyokong parti pembangkang. Jadi langkah menyekat ini lebih cenderung d

ilihat sebagai satu taktik demi 'menjaga' undi. Jika betul inilah alasannya maka Mahasiswa hari ini akan mula ketawa kepada mereka yang berkenaan.


Kepada mereka yang menyatakan tidak setuju kepada isu ini, adalah perlu juga untuk kita berfikir secara positif. Pertama mari kita fikirkan apakah makna sebenar politik itu?Apakah yang dituntut dalam berpolitik? Adakah perlu kita menafikan peranan politik itu sebahagian daripada tanggungjawab khususnya dalam agama Islam? Bagaimana peranan dan corak politik yang ingin dibawa oleh anak muda hari ini?


Hakikatnya politik itu adalah suatu perkara yang baik dan bersih. Ianya berperanan untuk manusia menguruskan kehidupan mereka dengan cara yang terbaik sepertimana yang digesa oleh al-Quran dan As-Sunnah. Berperanan menyusun atur kehidupan masyarakat dengan lebih teratur. Berperanan menentang kezaliman. Benci akan penindasan. Menidakkan segala yang mungkar. Mengangkat nilai keadilan. Inilah politik yang di anjur dalam Islam. Cuma ianya telah di kotorkan oleh tangan-tan

gan kita sendiri. Dikotorkan oleh hati-hati kita sendiri. Dikotorkan oleh mulut-mulut kita sendiri. Dikotorkan oleh akal kita sendiri. Maka hasilnya segelintir daripada mereka di luar sana mengatakan politik itu kotor lalu dijauhkan diri darinya.


Perlu kita fahami terlebih dahulu apa sebenarnya asas kepada politik itu sendiri. Politik di dalam bahasa Arab dikenali dengan istilah siyasah. Asal usul siyasah pula diterapkan pada pengurusan dan latihan penggembalaan. Begitu juga dalam perkataan orang Arab ada dikatakan : ‘Bagaimana mungkin rakyatnya terpelihara bila pemeliharanya seperti lebah, maknanya bagaimana mungkin keadaan rakyat akan baik bila pemimpinnya seperti lebah yang meyakiti orang lain.' Politik juga merupakan pemeliharaan (ri’ayah), perbaikan (ishlah), pelurusan (taqwim), pemberian arah petunjuk (irsyad), dan pendidikan (ta`dib).Lalu, ungkapan tersebut diguna dalam pengaturan urusan-urusan manusia. Dalam konteks bahasa Arab dikatakan s

ebagai ulil amri iaitu yang menguruskan (yasûsu) rakyatnya, mengaturnya, dan menjaganya.


Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya : "Adalah Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah" (HR. Bukhari dan Muslim).


Menurut Lenin, seorang ahli reformis dari Rusia berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ). Manakala, seorang ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).


Jadi di sini fahamlah kita bahawa politik atau siyasah itu menuntut kita supaya menguruskan urusan masyarakat serta berusaha membina kehidupan rakyat dengan cara yang terbaik. Berkecimpung dalam politik bererti bertindak untuk menjadikan keadaan kaum, masyarakat, negara dan agama supaya lebih baik dengan cara menidakkan kezaliman penguasa kepada rakyat dan berusaha membantu kerajaan melenyapkan kepincangan yang bermaharajalela. Untuk itu perlu pada kita mengetahui apa yang dilakukan oleh penguasa atau kerajaan dalam rangka membantu menguruskan urusan masyarakat dan juga rakyat, mengingkari keburukannya, menasihati pemimpin yang 'bertopeng', menentang penguasa yang tindas akan rakyatnya, serta memeranginya pada saat terjadi kekufuran yang nyata.


Ini adalah perintah Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Berkaitan dengan persoalan ini Nabi Muhammad SAW bersabda : "Siapa saja yang bangun pagi dengan gapaiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namun tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka ia bukan dari golongan mereka." (HR. Al Hakim)


Rasulullah ditanya oleh sahabat tentang jihad apa yang paling utama. Baginda menjawab :"Kalimat haq yang disampaikan pada penguasa" (HR. Ahmad).


Berbalik kepada isu ini iaitu memberi kebenaran dan kebebasan kepada Mahasiswa untuk berpolitik. Mengapa saya kata perlu? Pertama, anak muda khususnya Mahasiswa yang meminta untuk berpolitik ini sebenarnya sedang meminta supaya mereka di beri ruang yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mereka memberi pandangan, keluhan, cadangan, kritikan, nasihat dan teguran kepada pemimpin-pemimpin kerajaan mahupun pembangkang dalam apa jua dasar atau perkara yang dirasakan perlunya penglibatan Mahasiswa. Ruang ini akan digunakan oleh Mahasiswa khususnya anak muda generasi baru ini untuk mengutarakan idea-idea dan impian mereka sebelum memegang tampuk kepimpinan negara. Asasnya di sini ialah Mahasiswa sekadar menjadi pemerhati yang akan menyemak 'imbangan' politik yang dimainkan oleh pemimpin samada dari kerajaan mahupun pembangkang.


Dalam imbangan ini Mahasiswa akan bersuara sekiranya mana-mana pemimpin daripada mana-mana parti ada melakukan kesalahan, penyelewangan, pecah amanah atau apa jua bentuk kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pemimpin. Platform ini juga bakal digunakan oleh Mahasiswa untuk menyatakan pandangan terhadap dasar-dasar kerajaan baik diperingkat Negeri mahupun Persekutuan. Apa jua dasar yang difikirkan elok dan baik kepada rakyat, pembangunan negara dan juga keutuhan agama, maka Mahasiswa akan sama-sama bekerjasama menjayakan dasar tersebut. Tetapi sekiranya sesuatu dasar itu difikirkan Mahasiswa tidak relevan atau tidak sepatutnya diadakan maka Mahasiswa akan menegur dan mengusulkan cadangan di peringkat anak muda. Inilah apa yang diharapkan dengan kebenaran untuk berpolitik. Politik untuk menjadi lebih baik. Apa yang menjadi masalahnya sekarang ialah, kebanyakkan dasar-dasar yang dilaksana oleh kerajaan sekarang adalah tidak selari dengan apa yang diimpikan oleh anak muda. Maka apabila ditentang anak muda terus 'dicop' sebagai kumpulan pembangkang. Walhal anak muda menentang pemimpin-pemimpin yang 'corrupt' baik kerajaan mahupun pembangkang.


Kedua, mengapa perlunya berpolitik adalah disebabkan kurangnya kepekaan dalam kalangan anak muda tentang perjalanan dan isu-isu penting dalam dan luar negara. Sistem pendidikan negara yang masih membelenggu anak muda dengan budaya 'belajar untuk exam' ini masih banyak berlaku dalam kalangan Mahasiswa. Rata-rata kebanyakkan Mahasiswa menyediakan diri masing-masing hanya untuk persiapan peperiksaan dan juga bersaing untuk mendapat pengiktirafan dalam bidang yang di ambil. Jadi pada mereka untuk menyibukkan diri dalam perkara-perkara nasional dan aktiviti luar bilik kuliah dianggap tidak penting dan hanya membuang masa. Kesan langsungnya hanyalah menjadikan Mahasiswa itu lebih jumud dan kurang kualiti. Bayangkan masih ada Mahasiswa di luar sana masih tidak tahu tentang kenaikan harga minyak. Masih ada juga yang tidak tahu tentang rasuah yang berakar umbi dalam negara dengan begitu parah. Masih ada juga yang tidak tahu akan tanggungjawabnya apabila berusia sudah 21 tahun nanti. Soalnya sekarang, mengapa penting untuk Mahasiswa mengetahui dan mengambil tempat dalam perkara-perkara dan isu-isu yang berlaku dalam dan luar negara?




Hal ini kerana tiada pemimpin yang tidak pernah menjadi anak muda. Jelas sekali yang menjadi pemimpin semuanya pernah menjadi anak muda lebih-lebih lagi menjadi Mahasiswa. Tempat anak muda akhirnya berada di tampuk pimpinan negara. Untuk menjadi pemimpin yang terbaik bukannya bermula dari satu hari, bukan bermula dari satu minggu, bukannya bermula dari satu tahun tapi perlulah bermula dari seawal kelahiran. Menjadi pemimpin perlulah diberi ruang dan kesempatan untuk anak muda membina kepimpinan mereka sendiri. Mereka perlu diberi ruang untuk berfikir dengan begitu matang. Berfikir dengan memandang ke hadapan. Berfikir dengan penuh kesedaran. Berfikir dengan tujuan kebajikan. Berfikir dengan penuh keinsafan.Berfikir dengan demokrasi terpimpin. Kerana Mahasiswa bila bersuara tidak ada sebarang perolehan. Mereka tiada sebab untuk mengaut keuntungan sebelah tangan. Mereka juga tiada sebarang kepentingan bila bersuara. Apa yang menjadi pendorong untuk mereka bersuara hanyalah untuk kepentingan sejagat. Sekiranya peluang untuk mendapatkan pandangan anak muda ini masih di pandang sebelah mata, maka tiada guna lagi laungan Modal Insan Kelas Pertama ini perlu di jaja.


Ketiga, mengapa perlunya Mahasiswa berpolitik ialah ketika mana anak muda berani membicarakan isu-isu di peringkat nasional, ianya dilihat lebih berkesan mendidik Mahasiswa menjadi pemimpin yang progresif pada masa hadapan. Ini adalah kesan langsung yang dapat dipupuk secara semulajadi sekiranya anak muda diberi galakan dan ruang yang betul. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar. Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka. Anuar Ahmad, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ada menyatakan "politik dan pelajaran bagi mahasiswa adalah salah satu komponen yang selari yang harus dibangunkan untuk menjadikan pelajar dan modal insan yang cemerlang". Beliau tidak menafikan semangat berpolitik yang menebal dalam diri mahasiswa merupakan mekanisme yang baik ke arah mendokong asas demokrasi dan ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang. Di samping itu, kesedaran politik di kalangan mahasiswa amat diperlukan untuk menggerakkan mahasiswa supaya aktif dan peka dengan persekitaran mereka.


Namun, sejak akhir-akhir ini sering kedengaran seruan agar mahasiswa tidak terlibat dengan politik. Tujuan datang ke universiti ialah untuk belajar bukannya berpolitik. Dalam perkembangan dunia sekeliling, ilmu pengetahuan kini menjadi modal kehidupan yang amat berharga. Nilai ilmu yang berbagai-bagai itu sendiri adalah merupakan asas dalam mewujudkan suasana kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Justeru generasi mahasiswa tidak boleh tertinggal dan terpengaruh dengan gejala yang menyekat kemaraan bagi meneruskan pencarian ilmu. Ilmu itu perlu dicari dan difahami dengan sebaiknya. Ilmu itu tidak akan bermakna jika ia tidak disertakan dengan pemahaman yang mendalam mengenainya.Cabang-cabang ilmu haruslah di pelajari oleh Mahasiswa dimana tidak hanya menjumudkan minda terhadap ilmu dalam kelas dan nota-nota kuliah semata-mata. Sebaliknya amatlah diharapkan mahasiswa dapat meluaskan horizon kecerdikan mereka dengan mengambil langkah yang bijak dengan bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum sebahagiannya dalam politik kampus. Jadi laluan politik itu adalah kiraan laluan yang baik untuk mencapai cabang ilmu yang berbagai itu.


Sebagai penutup, mahasiswa dan politik sebenarnya berkait dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Jadi persoalan, adakah relevan mahasiswa berpolitik sebenarnya tidak sepatutnya dibahaskan selagi mana akademik masih menjadi keutamaan mereka. Mahasiswa mempunyai hak untuk menyatakan suara mereka dan mengetahui isu-isu politik semasa selaras dengan asas negara demokrasi. Di samping itu, diharapkan mahasiswa dapat membuka mata mereka agar tidak melihat politik sebagai sesuatu yang enteng atau kotor kerana ianya memberi imej yang besar kepada arus politik tanah air pada masa hadapan. Penglibatan mahasiswa dalam politik juga sedikit sebanyak dapat mematangkan diri dan menimba pengalaman serta menyiapkan diri mahasiswa dengan pengalaman dan kepimpinan untuk memimpin negara kelak.



*Penulis adalah Naib Yang DiPertua I Majlis Perwakilan Pelajar UMK 2011 merangkap Duta Pro-Mahasiswa UMK.Beliau juga adalah mahasiswa Tahun 2,Fakulti Keusahawanan & Perniagaan (FKP) Universiti Malaysia Kelantan

1 comment

~Zaman Peralihan - Kami Tak KEBULUR dengan Jawatan dalam UMNO ~
1 ~ http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=32381
2 ~ http://www.sabahforum.com/forum/sabah-malaysia-international-politics/topic28065.html
3 ~ http://www.utaraonline.net/v4/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=22146
4 ~ http://www.selatanonline.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=196#196


5 ~ http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=1


~Perhimpunan Agung UMNO - Pemuda Dan Puteri UMNO Menyalak Macam Anjing Gila ~
1 ~ http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=32381
2 ~ http://www.sabahforum.com/forum/sabah-malaysia-international-politics/topic28065.html
3 ~ http://www.utaraonline.net/v4/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=22146
4 ~ http://www.selatanonline.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=196#196


5 ~ http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=1


~Semua Rakyat Malaysia Belum Tahu - Pemimpin2 UMNO Terengganu Terbodoh Sejak Merdeka ~
1 ~ http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=32381
2 ~ http://www.sabahforum.com/forum/sabah-malaysia-international-politics/topic28065.html
3 ~ http://www.utaraonline.net/v4/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=22146
4 ~ http://www.selatanonline.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=196#196


5 ~ http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=Forums&file=viewforum&f=1


p/s: Ubahsuai (copy&paste) dari 'Abang Sayang'

July 15, 2012 at 3:05 AM

Post a Comment

 


Blogger Template By LawnyDesignz