Wednesday, February 23, 2011


Alhamdulillah! Allahuakbar!
Itu sahajalah yang mampu diucapkan oleh para pendokong Pro-Mahasiswa sebaik sahaja pengumuman calon Majlis Perwakilan Mahasiswa UMK yang menang selesai.Setelah melalui badai berduri,peristiwa konflik dan menghadapi fitnah dan tribulasi melampau,akhirnya kumpulan demokratik anak muda yang terdiri daripada pelbagai ideologi,bangsa,agama dan latarbelakang ini memperoleh kejayaan yang manis daripada perjuangan mereka apabila lebih setengah kerusi MPM-UMK 2011 diisi oleh calon yang mendokong agenda Pro-Mahasiswa.

Pilihanraya Kampus kali ke-3 ini mencipta sejarah yang ulung buat mahasiswa bahawa Majlis Perwakilan Mahasiswa ataupun pemimpin mereka tidak mudah dicatur dan diperkotak-katikan.Mahasiswa UMK memberi signal yang jelas bahawa mereka mahukan perubahan yang drastik dilakukan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa ini daripada menjadi lesu dan tidak bermaya menjadi energetik,bebas dan lantang bersuara demi hak mereka.Mahasiswa mahukan suara yang kuat di dalam MPM supaya isu-isu kebajikan mereka diselesaikan dengan segera.

Gelombang Oren yang dilancarkan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan mahasiswa.Perkataan "Pro-M" dan "Gelombang Oren" menjadi topik perbincangan mahasiswa,berbeza dengan PRK yang sebelum ini dilihat lesu dan muram.Gelombang Oren inilah yang memberikan momentum kemenangan yang hebat kepada Pro-Mahasiswa.

Gelombang kemenangan ini juga turut merebak hampir ke seluruh IPTA termasuk kemenangan Pro-M di Universiti Malaya (UM),Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (USMKK),Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Universiti Islam Antarabangsa (UIA),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),Universiti Malaysia Sabah (UMS),Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan juga Universiti Industri Selangor (Unisel).Tahniah diucapkan!

Di UMK,calon-calon Pro-Mahasiswa mendapat undian yang tertinggi di dalam kerusi UMUM.Pro-M menguasai 3 daripada 4 kerusi UMUM,1 di Fakulti Keusahwanan & Perniagaan (FKP),1 di Fakulti Agro-Industri & Sumber Asli dan 1 lagi di Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan,yang menang tanpa bertanding.Kerusi yang selebihnya dimiliki oleh Calon Bebas.Kali ini tidak ada kewujudan pro-Aspirasi.

Pro-Mahasiswa UMK ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi yang memberikan undi kepada calon-calon kami.Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada hampir 50 mahasiswa yang menjadi jentera Pilihanraya Kampus,sehinggakan ada yang bersengkang mata untuk membantu menaikkan poster dan menampal manifesto.Terima kasih juga diucapkan kepada mahasiswa tahun akhir yang menjadi inspirasi perjuangan ini,mahasiswa daripada komuniti cina dan india serta lain-lain,Presiden-presiden persatuan yang sentiasa memberi sokongan dan tidak lupa juga kepada para pensyarah yang menyokong kami.

Buat pemimpin mahasiswa yang menang,jalankanlah amanah yang diberikan ini dengan saksama,kami menghormati segala keputusan yang dilakukan oleh MPM dan berdiri teguh di belakang MPM bagi membangunkan mahasiswa dan varsiti tercinta.Bersama menjulang kegemilangan varsiti! We unite for UMK!

Lajnah Penerangan Pro-Mahasiswa UMK

0 comments

Post a Comment

 


Blogger Template By LawnyDesignz