Tuesday, December 21, 2010

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu segera menerapkan budaya “inovasi demokrasi”, antara lain membuang amalan karenah birokrasi yang masih mengekang kebebasan para pelajar, kata Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, budaya inovasi perlu bermula dari usia muda, contohnya di kalangan pelajar IPT.

Kata beliau, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda dan banyak pelan transformasi telah dilancarkan, malangnya pelajar masih dikekang oleh karenah birokrasi.

“Contoh karenah birokrasi yang mengekang inovasi pelajar IPT yang perlu dihapuskan segera ialah pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

“Sepatutnya surat dan borang ringkas memadai,” kata beliau pada kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Malah kata beliau, pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti kerana pegawai bercuti dan sebagainya.

“Sepatutnya kelulusan disegerakan kerana hayat keaktifan pelajar adalah mengikut sesuatu semester sahaja, justeru mereka tidak mempunyai tempoh masa yang panjang untuk sesuatu aktiviti,” katanya.

Selain itu kata Saifuddin, pelajar juga dilarang menganjurkan sesuatu aktiviti kerana ia tidak selari dengan minat pegawai. “Sepatutnya pelajar diberi kebebasan untuk menganjurkan aktiviti mengikut minat mereka, kerana yang menyertainya ialah pelajar, bukannya pegawai,” kata beliau lagi.

Malah menurut Ahli Parlimen Temerloh ini, aktiviti pelajar dikekang oleh kekurangan atau ketiadaan peruntukan, tetapi apabila untuk aktiviti lain, maka ada pula peruntukannya. “Sepatutnya seboleh-bolehnya dijimatkan peruntukan supaya pelajar dapat menganjurkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya.

“Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti. Ada kes saya dahulukan duit saya, bukan kerana pelajar minta, tapi kerana IPT lambat keluarkan dana yang dicari pelajar sedangkan pelajar sedang dalam peperiksaan dan dikejar pembekal untuk pembayaran.

“Sepatutnya semakin pelajar bijak mencari dana sendiri, semakin dipermudahkan urusan mereka,” tambah timbalan menteri.

Di samping itu beliau juga mendedahkan bahawa pelajar dimarahi kerana menghubungi menteri atau timbalan menteri, yang terbuka dan suka merapati pelajar, secara langsung secara terus melalui media sosial. “Sepatutnya pelajar digalakkan untuk merapati menteri atau timbalan menteri secara terus,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, budaya inovasi adalah satu daripada nilai aspirasi dalam gagasan 1 Malaysia.

Katanya, budaya inovasi merujuk kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan.

“Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan dalam setiap bidang.

“Kreativiti melibatkan pemikiran, idea dan gagasan baru manakala inovasi meliputi penambahbaikan dan penyesuaian kepada kreativiti yang sedia ada hingga memberi nilai tambah yang boleh digunakan termasuk dalam bentuk barangan dan perkhidmatan dengan bermanfaat, termasuk boleh dikomersialkan.

“Inovasi tidak boleh dikhususkan atau dihadkan dalam bidang sains dan teknologi semata-mata. Sebaliknya, ia perlu diamalkan dalam setiap bidang, termasuk dalam politik, iaitu dengan melakukan inovasi politik atau inovasi demokrasi,” katanya.

 


Blogger Template By LawnyDesignz