Saturday, November 27, 2010

Setelah hampir 4 tahun penubuhan Institut Pengajian Tinggi Awam penuh yang pertama di negeri Kelantan Darul Naim,Universiti Malaysia Kelantan yang diilhamkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) oleh mantan Perdana Menteri,Tun Abdullah b. Hj Ahmad Badawi, sudah tentunya telah melalui pelbagai pengalaman dan peristiwa yang dikirakan sudah banyak mematangkan proses pembangunan universiti ini samada darisegi pembangunan fizikalnya dan juga pembangunan modal insan.

Objektif penubuhan universiti ini memang tepat pada masanya bilamana negara memerlukan graduan yang berkemahiran di dalam bidang keusahawanan bagi menyediakan modal-modal insan yang mampu mencipta peluang kerjaya dan perniagaan untuk menjana kekayaan negara selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat-rakyat termiskin.

Hasrat untuk menjadikan UMK sebagai universiti keusahawanan no.1 telah direalisasikan oleh pihak universiti dengan pelbagai agenda seperti menjadikan subjek keusahawanan sebagai subjek teras universiti,menanamkan budaya berkeusahawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi penganjuran ceramah-ceramah keusahawanan,jemputan tokoh-tokoh usahawan terkemuka negara,penubuhan syarikat siswa universiti,penubuhan koperasi,program kemasyarakatan dan bermacam-macam agenda lagi yang telah sedikit sebanyak mempromosikan UMK sebagai universiti keusahawanan yang mampu memberikan impak yang besar khususnya kepada masyarakat di negeri Kelantan.

Namun perlu dilihat,hasrat untuk menjadi UMK sebagai universiti keusahawanan terulung bukan terletak kepada tanggungjawab pihak pentadbiran semata-mata.Tanggungjawab ini sepatutnya digalas juga oleh mahasiswa UMK yang merupakan aset berharga universiti.Mahasiswa merupakan faktor dan tenaga utama bagi menggerakkan universiti ini.Kualiti ijazah yang akan dibawa keluar nanti bukannya terletak kepada pengurusan universiti semata-mata,tetapi kualiti ijazah dan kualiti modal insan yang akan dilahirkan oleh UMK lebih terletak kepada keterampilan dan kemampuan mahasiswa dalam menterjemahkan hasrat universiti.

Sejak akhir-akhir ini seakan berlakunya konflik dalam kalangan sesetengah mahasiswa yang memperlekehkan varsiti ekoran berlakunya pelbagai insiden seperti pengurusan universiti yang lemah,kemudahan tidak seberapa dan pelbagai kes lagi yang mengikit rasa kecintaan mahasiswa terhadap universiti.

Ada juga mahasiswa yang berasa malang kerana ditempatkan di Universiti Malaysia Kelantan yang masih baru dan masih kurang dari segi pembangunan fizikalnya dan ada juga mahasiswa yang kecewa dengan pengurusan universiti kerana tidak menyediakan kemudahan yang secukupnya bagi mahasiswa serta pengurusan yang seakan memperkotak-katikkan mahasiswa.Ada juga yang mengatakan UMK sebuah universiti politik,lalu mahasiswa yang menjadi mangsa agenda politik sesetengah pihak.

Lalu akibat perkara-perkara ini,sessetengah mahasiswa sudah tidak lagi bersemangat untuk menyertai program-program yang dianjurkan di universiti,mahasiswa lebih memfokuskan kepada pembelajaran dalam kuliah serta lebih suka duduk di dalam bilik dan kurang mengaktifkan diri.

Begitulah persepsi dan luahan 1,001 rasa sesetengah lapisan mahasiswa tentang universiti ini.Namun,perlu dilihat,selaku universiti yang masih baru ditubuhkan,inilah cabaran dan perjalanan yang perlu kita hadapi khususnya bagi mahasiswa UMK.Ketempangan dan kekurangan dalam beberapa hal tidak sepatutnya menjadi punca mengapa mahasiswa terus menjadi lesu dan bersikap pasif.Sikap ini tidak memberikan apa-apa kesan positif melainkan hanya merugikan diri sendiri.

Apabila mahasiswa dilihat tidak aktif,maka boleh jadi pembangunan dan perkembangan universiti itu akan menjadi sedikit terencat.Kegemilangan UMK terletak kepada sejauhmana kemampuan mahasiswanya dalam merencanakan agenda universiti,sejauhamana kehebatan mahasiswanya memberi impak kepada masyarakat sekeliling dan sejauhmana kehebatan mahasiswa dalam menjadi graduan yang berkeusahawanan.Apabila bergraduasi kelak,antara perkara yang akan dinilai adalah penglibatan kita semasa di universiti,apakah agenda universiti yang kita telah cerna,adakah kita mampu membangunkan kemahiran insaniah kita di universiti dan adakah kita sudah ada ciri-ciri sebagaimana yang universiti mahu corakkan.

Sepatutnya,dalam keadaan ini,mahasiswa UMK patut menggerakkan idealisme mereka.Kita sebagai mahasiswa bukan lagi bertaraf pelajar sekolah menengah yang hanya menunggu arahan dan mengikut sahaja apa yang diarahkan.Sepatutnya kita mempunyai idealisme tersendiri dan tunjukkan bahawa kita lebih komited dan lebih bagus dalam membangunkan universtiti daripada pihak pentadbiran.Kita perlu menunjukkan bahawa UMK adalah milik mahasiswa,mahasiswa yang akan menggerakkan universiti ini dan mahasiswalah yang akan mengangkat martabat universiti ini.Mahasiswa seharusnya mengusulkan banyak idea,perkara dan agenda dalam memajukan universiti ini bukannya menjadi pasif dan tidak menyumbang apa.Janganlah kerana ketidakcekapan dan beberapa konflik yang berlaku membuatkan semangat juang kita sebagai mahasiswa luntur.Mahasiswa juga diseru jangan mengamalkan mentaliti bersubsidi,mengharapkan banyak perkara dan bantuan,dan apabila tidak dapat,mereka memberontak.Kita harus dilihat sebagai golongan yang matang,berintelek dan profesional,bukan sebagai seorang yang mempunyai minda kelas ketiga yang masih rendah lagi mentalitinya.Kita sepatutnya sudah dewasa dan mampu memikirkan hal-hal ini dengan matang.

Oleh itu,saya menyeru kepada semua lapisan mahasiswa UMK supaya mari kita menghidupkan roh kampus tercinta ini dengan menggerakkan idealisme kita dan bersama sama kita membangunkan UMK secara holistik.Mahasiswa tidak sepatutnya menjadi penumpang dan mengikut sahaja arahan-arahan pihak tertentu,tetapi mahasiswa harus menjadi pemandu dan memacu pembangunan universiti yang tercinta ini.Gerakan mahasiswa perlu diperkasakan supaya mahasiswa dilihat sebagai golongan yang energetik dan sentiasa bersedia dalam apa jua hal.Gerakan ini juga bukan sahaja dilihat sebagai gerakan yang memacu,tetapi gerakan ini harus dilihat sebagai penegur dan pengkritik jika ada ketempangan dan kelompongan dalam beberapa hal yang boleh mencacatkan pembangunan universiti.

Ingin diingatkan bahawa perkara ini bukan semata-mata untuk mengharumkan nama insitusi ini,tetapi perkara ini juga memberikan impak yang positif kepada diri kita khususnya.Apakah pakej yang akan kita hidangkan untuk menceburi pasaran pekerjaan kelak daripada universiti ini.Tidak lama lagi akan menyaksikan graduasi yang pertama yang akan keluar dari UMK dan kita akan melihat bagaimana mahasiswa kita memasarkan apa yang mereka perolehi daripada menuntut di UMK.

Kepada pihak pentadbiran pula,mereka seharusnya menghormati suara dan pendapat mahasiswa dan menerima idea serta usul mahasiswa untuk dijadikan asas membangunkan universiti dan mereka seharusnya mengiktiraf idealisme mahasiswa.Janganlah memperlekehkan,menggula-gulakan dan memperkotak-katikkan mahasiswa kerana mahasiswa bukanlah seperti pelajar sekolah menengah yang mudah diarah-arahkan.

Ingat! Universiti ini adalah milik mahasiswa dan kita akan membuktikan bahawa kita komited dalam menggerakkan varisiti ini mengikut corak kita.Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita.Sekian,wallahu'alam bi asy syawab.

-Mohamad Hafizudin b. Mohd Nasarudin
(Naib Yang DiPertua II Majlis Perwakilan Pelajar UMK sesi 2009/10 merangkap MPP Pro-M UMK)

0 comments

Post a Comment

 


Blogger Template By LawnyDesignz