Saturday, November 27, 2010

Nov 26, Kuala Lumpur : Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disaran agar mengurangkan karenah birokrasi dalam menggalakkan penuntutnya menganjurkan kegiatan yang mendekati pemimpin supaya mereka dapat bersemuka dan meluahkan keperluannya.


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata saranan ini dibuat memandangkan ada sesetengah IPTA dikesan menyekat hasrat penuntutnya untuk mengundang pemimpin termasuk menteri dalam aktiviti anjuran mereka.

Katanya beliau ada menerima aduan berhubung perkara itu dengan alasan majlis yang dianjurkan penuntut tersebut bersifat tidak rasmi dan hanya kecil-kecilan.

“Karenah birokrasi seumpama ini bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar untuk bertemu pemimpin dan menjalankan aktiviti, malah ia tidak wajar. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengalakkan pelajar mengadakan majlis dan bertemu pemimpin bagi menyatakan masalah mereka,” katanya.

Saifuddin berkata tidak perlu pertemuan dengan pemimpin diadakan secara formal atau besar-besaran memadai dengan bersembang minum teh atau bersembang tidak formal.

Sementara itu, Presiden GAMIS, Muhammad Syazwan Muhammad Hassan bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan KPT itu dengan menyatakan bahawa sekarang ini memang banyak birokrasi berlaku di kampus-kampus.

“Saya bersetuju andai kata birokrasi di kampus dikurangkan. Dulu pernah ada kes mahasiswa ditahan di AUKU alasannya bawa pemimpin pembangkang masuk kampus tapi bila bawa pemimpin kerajaan, tak dikenakan pula AUKU.”

“Kami di peringkat mahasiswa memang sudah nampak perkara ini (birokrasi) terutama apabila ingin menganjurkan sesuatu program, mesti akan ada sesuatu akan berlaku kalau bawa pemimpin pembangkang. Ternyata berbeza sebab kami pernah bawa pemimpin kerajaan untuk rasmi suatu program.”

Tambahnya lagi, “Saya suka istilah ‘minum teh’ yang dinyatakan Datuk Saifuddin. Ini menunjukkan pemimpin juga bersedia untuk menerima jemputan tidak formal. PMIUM pernah anjurkan ‘Sembang Kopi O’ dan penganjurannya akan diteruskan pada masa akan datang untuk sahut seruan KPT.”

sumber:UMToday

0 comments

Post a Comment

 


Blogger Template By LawnyDesignz