Saturday, November 27, 2010

Setelah hampir 4 tahun penubuhan Institut Pengajian Tinggi Awam penuh yang pertama di negeri Kelantan Darul Naim,Universiti Malaysia Kelantan yang diilhamkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) oleh mantan Perdana Menteri,Tun Abdullah b. Hj Ahmad Badawi, sudah tentunya telah melalui pelbagai pengalaman dan peristiwa yang dikirakan sudah banyak mematangkan proses pembangunan universiti ini samada darisegi pembangunan fizikalnya dan juga pembangunan modal insan.

Objektif penubuhan universiti ini memang tepat pada masanya bilamana negara memerlukan graduan yang berkemahiran di dalam bidang keusahawanan bagi menyediakan modal-modal insan yang mampu mencipta peluang kerjaya dan perniagaan untuk menjana kekayaan negara selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat-rakyat termiskin.

Hasrat untuk menjadikan UMK sebagai universiti keusahawanan no.1 telah direalisasikan oleh pihak universiti dengan pelbagai agenda seperti menjadikan subjek keusahawanan sebagai subjek teras universiti,menanamkan budaya berkeusahawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi penganjuran ceramah-ceramah keusahawanan,jemputan tokoh-tokoh usahawan terkemuka negara,penubuhan syarikat siswa universiti,penubuhan koperasi,program kemasyarakatan dan bermacam-macam agenda lagi yang telah sedikit sebanyak mempromosikan UMK sebagai universiti keusahawanan yang mampu memberikan impak yang besar khususnya kepada masyarakat di negeri Kelantan.

Namun perlu dilihat,hasrat untuk menjadi UMK sebagai universiti keusahawanan terulung bukan terletak kepada tanggungjawab pihak pentadbiran semata-mata.Tanggungjawab ini sepatutnya digalas juga oleh mahasiswa UMK yang merupakan aset berharga universiti.Mahasiswa merupakan faktor dan tenaga utama bagi menggerakkan universiti ini.Kualiti ijazah yang akan dibawa keluar nanti bukannya terletak kepada pengurusan universiti semata-mata,tetapi kualiti ijazah dan kualiti modal insan yang akan dilahirkan oleh UMK lebih terletak kepada keterampilan dan kemampuan mahasiswa dalam menterjemahkan hasrat universiti.

Sejak akhir-akhir ini seakan berlakunya konflik dalam kalangan sesetengah mahasiswa yang memperlekehkan varsiti ekoran berlakunya pelbagai insiden seperti pengurusan universiti yang lemah,kemudahan tidak seberapa dan pelbagai kes lagi yang mengikit rasa kecintaan mahasiswa terhadap universiti.

Ada juga mahasiswa yang berasa malang kerana ditempatkan di Universiti Malaysia Kelantan yang masih baru dan masih kurang dari segi pembangunan fizikalnya dan ada juga mahasiswa yang kecewa dengan pengurusan universiti kerana tidak menyediakan kemudahan yang secukupnya bagi mahasiswa serta pengurusan yang seakan memperkotak-katikkan mahasiswa.Ada juga yang mengatakan UMK sebuah universiti politik,lalu mahasiswa yang menjadi mangsa agenda politik sesetengah pihak.

Lalu akibat perkara-perkara ini,sessetengah mahasiswa sudah tidak lagi bersemangat untuk menyertai program-program yang dianjurkan di universiti,mahasiswa lebih memfokuskan kepada pembelajaran dalam kuliah serta lebih suka duduk di dalam bilik dan kurang mengaktifkan diri.

Begitulah persepsi dan luahan 1,001 rasa sesetengah lapisan mahasiswa tentang universiti ini.Namun,perlu dilihat,selaku universiti yang masih baru ditubuhkan,inilah cabaran dan perjalanan yang perlu kita hadapi khususnya bagi mahasiswa UMK.Ketempangan dan kekurangan dalam beberapa hal tidak sepatutnya menjadi punca mengapa mahasiswa terus menjadi lesu dan bersikap pasif.Sikap ini tidak memberikan apa-apa kesan positif melainkan hanya merugikan diri sendiri.

Apabila mahasiswa dilihat tidak aktif,maka boleh jadi pembangunan dan perkembangan universiti itu akan menjadi sedikit terencat.Kegemilangan UMK terletak kepada sejauhmana kemampuan mahasiswanya dalam merencanakan agenda universiti,sejauhamana kehebatan mahasiswanya memberi impak kepada masyarakat sekeliling dan sejauhmana kehebatan mahasiswa dalam menjadi graduan yang berkeusahawanan.Apabila bergraduasi kelak,antara perkara yang akan dinilai adalah penglibatan kita semasa di universiti,apakah agenda universiti yang kita telah cerna,adakah kita mampu membangunkan kemahiran insaniah kita di universiti dan adakah kita sudah ada ciri-ciri sebagaimana yang universiti mahu corakkan.

Sepatutnya,dalam keadaan ini,mahasiswa UMK patut menggerakkan idealisme mereka.Kita sebagai mahasiswa bukan lagi bertaraf pelajar sekolah menengah yang hanya menunggu arahan dan mengikut sahaja apa yang diarahkan.Sepatutnya kita mempunyai idealisme tersendiri dan tunjukkan bahawa kita lebih komited dan lebih bagus dalam membangunkan universtiti daripada pihak pentadbiran.Kita perlu menunjukkan bahawa UMK adalah milik mahasiswa,mahasiswa yang akan menggerakkan universiti ini dan mahasiswalah yang akan mengangkat martabat universiti ini.Mahasiswa seharusnya mengusulkan banyak idea,perkara dan agenda dalam memajukan universiti ini bukannya menjadi pasif dan tidak menyumbang apa.Janganlah kerana ketidakcekapan dan beberapa konflik yang berlaku membuatkan semangat juang kita sebagai mahasiswa luntur.Mahasiswa juga diseru jangan mengamalkan mentaliti bersubsidi,mengharapkan banyak perkara dan bantuan,dan apabila tidak dapat,mereka memberontak.Kita harus dilihat sebagai golongan yang matang,berintelek dan profesional,bukan sebagai seorang yang mempunyai minda kelas ketiga yang masih rendah lagi mentalitinya.Kita sepatutnya sudah dewasa dan mampu memikirkan hal-hal ini dengan matang.

Oleh itu,saya menyeru kepada semua lapisan mahasiswa UMK supaya mari kita menghidupkan roh kampus tercinta ini dengan menggerakkan idealisme kita dan bersama sama kita membangunkan UMK secara holistik.Mahasiswa tidak sepatutnya menjadi penumpang dan mengikut sahaja arahan-arahan pihak tertentu,tetapi mahasiswa harus menjadi pemandu dan memacu pembangunan universiti yang tercinta ini.Gerakan mahasiswa perlu diperkasakan supaya mahasiswa dilihat sebagai golongan yang energetik dan sentiasa bersedia dalam apa jua hal.Gerakan ini juga bukan sahaja dilihat sebagai gerakan yang memacu,tetapi gerakan ini harus dilihat sebagai penegur dan pengkritik jika ada ketempangan dan kelompongan dalam beberapa hal yang boleh mencacatkan pembangunan universiti.

Ingin diingatkan bahawa perkara ini bukan semata-mata untuk mengharumkan nama insitusi ini,tetapi perkara ini juga memberikan impak yang positif kepada diri kita khususnya.Apakah pakej yang akan kita hidangkan untuk menceburi pasaran pekerjaan kelak daripada universiti ini.Tidak lama lagi akan menyaksikan graduasi yang pertama yang akan keluar dari UMK dan kita akan melihat bagaimana mahasiswa kita memasarkan apa yang mereka perolehi daripada menuntut di UMK.

Kepada pihak pentadbiran pula,mereka seharusnya menghormati suara dan pendapat mahasiswa dan menerima idea serta usul mahasiswa untuk dijadikan asas membangunkan universiti dan mereka seharusnya mengiktiraf idealisme mahasiswa.Janganlah memperlekehkan,menggula-gulakan dan memperkotak-katikkan mahasiswa kerana mahasiswa bukanlah seperti pelajar sekolah menengah yang mudah diarah-arahkan.

Ingat! Universiti ini adalah milik mahasiswa dan kita akan membuktikan bahawa kita komited dalam menggerakkan varisiti ini mengikut corak kita.Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita.Sekian,wallahu'alam bi asy syawab.

-Mohamad Hafizudin b. Mohd Nasarudin
(Naib Yang DiPertua II Majlis Perwakilan Pelajar UMK sesi 2009/10 merangkap MPP Pro-M UMK)

Nov 26, Kuala Lumpur : Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disaran agar mengurangkan karenah birokrasi dalam menggalakkan penuntutnya menganjurkan kegiatan yang mendekati pemimpin supaya mereka dapat bersemuka dan meluahkan keperluannya.


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata saranan ini dibuat memandangkan ada sesetengah IPTA dikesan menyekat hasrat penuntutnya untuk mengundang pemimpin termasuk menteri dalam aktiviti anjuran mereka.

Katanya beliau ada menerima aduan berhubung perkara itu dengan alasan majlis yang dianjurkan penuntut tersebut bersifat tidak rasmi dan hanya kecil-kecilan.

“Karenah birokrasi seumpama ini bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar untuk bertemu pemimpin dan menjalankan aktiviti, malah ia tidak wajar. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengalakkan pelajar mengadakan majlis dan bertemu pemimpin bagi menyatakan masalah mereka,” katanya.

Saifuddin berkata tidak perlu pertemuan dengan pemimpin diadakan secara formal atau besar-besaran memadai dengan bersembang minum teh atau bersembang tidak formal.

Sementara itu, Presiden GAMIS, Muhammad Syazwan Muhammad Hassan bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan KPT itu dengan menyatakan bahawa sekarang ini memang banyak birokrasi berlaku di kampus-kampus.

“Saya bersetuju andai kata birokrasi di kampus dikurangkan. Dulu pernah ada kes mahasiswa ditahan di AUKU alasannya bawa pemimpin pembangkang masuk kampus tapi bila bawa pemimpin kerajaan, tak dikenakan pula AUKU.”

“Kami di peringkat mahasiswa memang sudah nampak perkara ini (birokrasi) terutama apabila ingin menganjurkan sesuatu program, mesti akan ada sesuatu akan berlaku kalau bawa pemimpin pembangkang. Ternyata berbeza sebab kami pernah bawa pemimpin kerajaan untuk rasmi suatu program.”

Tambahnya lagi, “Saya suka istilah ‘minum teh’ yang dinyatakan Datuk Saifuddin. Ini menunjukkan pemimpin juga bersedia untuk menerima jemputan tidak formal. PMIUM pernah anjurkan ‘Sembang Kopi O’ dan penganjurannya akan diteruskan pada masa akan datang untuk sahut seruan KPT.”

sumber:UMToday

Wednesday, November 10, 2010

Sekali lagi isu ketiadaan air merupakan isu yang sering melanda mahasiswa & mahasiswi UMK.Masalah air di UMK merupakan isu yang tidak pernah menemui jalan penyelesaian.Semenjak kemasukan mahasiswa sesi pertama,isu ini sudah bermula.

Pihak Pro-M telah menemui beberapa pihak dan bertanyakan sendiri situasi sebenar yang berlaku tentang isu ketiadaan air ini.Seorang mahasiswa senior,yang mahu dikenali sebagai Akmal,berkata "isu ketiadaan air ini merupakan perkara yang sudah lama kronik dan setakat ini tiada apa-apa penyelesaian dilakukan oleh pihak Kolej Kediaman.Kami sudah lama berhadapan dengan masalah ini dan sudah biasa dengan ketiadaan air ini."

Seorang lagi mahasiswa tahun ke-2 berkata,"isu ketiadaan air ini merupakan isu yang paling penting dititik-beratkan oleh pihak yang bertanggungjawab kerana mahasiswa perlu menggunakan air untuk mandi,membasuh pakaian dan yang paling penting untuk berwudhuk,khususnya bagi mahasiswa muslim,kalau air takde,macam mana kami nak pegi kelas? macam mana kami nak ambil wudhuk? benda ini cukup menyusahkan dan kami harapkan pihak terbabit mengambil serius tentang perkara ini,air adalah keperluan seharian kami."

Nur Faiz,mahasiswa tahun ke-3 FASA pula berkata, "saya kecewa dengan pihak pengurusan,mereka seolah-olah tidak menghiraukan kebajikan kami,macam tak buat apa-apa je untuk settlekan masalah air ini.Di mana progressnya? Kalau ada apa-apa masalah,buatlah notis,bagitau info kenapa air takde,ini membuatkan student tertanya-tanya.Bila kita kata diorang tak buat kerja,diorang marah,tapi apa hasilnya? Kami terpaksa turun ke aras bawah blok 2 tiap-tiap hari untuk mandi dan ambil air sembahyang,kadang-kadang terpaksa berhadapan dengan lecturer perempuan,semata-mata nak guna bilik air bawah.Makcik cleaner pun mengeluh sebab air takda"

Begitulah rata-rata luahan yang dilemparkan oleh mahasiswa UMK mengenai isu ketiadaan air ini.Sejak akhir-akhir ini isu ini bertambah parah apabila setiap hari bekalan air tidak mencukupi.Pihak kami berkesempatan mendapatkan maklumat mengenai isu sebenar ketiadaan air ini daripada salah seorang MPP Pro-M UMK,saudara Hafizudin dan beliau memberikan penjelasan bahawa daripada maklumbalas yang diberikan,bekalan air tidak mencukupi adalah kerana salah satu enjin pengepam di bilik kawalan air hadapan blok 3 sudah terbakar ataupun rosak.Justeru aliran air menjadi semakin perlahan dan memerlukan masa yang lama untuk memenuhi tangki-tangki yang ada.Justeru langkah seterusnya pihak MPP telah mendesak pihak atasan untuk membeli enjin yang baru bagi menggantikan enjin yang rosak,namun setakat ini tiada apa-apa perlaksanaan.

Beliau berkata,"Pihak kami mengharapkan agar isu ini cepat diselesaikan,namun setelah menghampiri penghujung semester,masih lagi tidak ada apa-apa tindakan,bagi wakil mahasiswa,saya sedikit kecewa kerana air ini merupakan keperluan asas,memang kadang-kala masalah ini juga berpunca di luar,namun sistem kejuruteraan dan teknikal air di asrama kita juga harus diperbaiki.Kami sudah jenuh menjawab pelbagai soalan mengenai masalah air ini,namun perlaksanaan nya semua terletak kepada pihak kolej kediaman,sepatutnya mereka prihatin dengan masalah ini,sekarang sudah ada suara-suara lantang yang mengecam ketidakcekapan kerja mereka terutamanya di portal,ini lah masalah yang kita tidak mahu timbulkan,tetapi hendak buat macam mana,mereka terus memberikan pelbagai alasan"

Di dalam blog beliau juga,beliau telah menyatakan beberapa tindakan yang telah diambil oleh pihak MPP bagi menangani masalah ini terutamanya menerusi Exco Kebajikan & Hubungan Komuniti,Zulkifli Mohd Zan.

Pihak Pro-Mahasiswa memandang serius isu ini dan mendesak pihak terbabit melaksanakan kerja mereka dan segera memperbaiki masalah ini.Semester 1 2010/11 hampir tamat ke penghunjungnya.Kami mendesak selepas sem baru yang akan datang,masalah ini akan diselesaikan secepat mungkin demi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.Kepada pihak MPP juga kami mendesak agak bersuara lantang dan berani dalam memperjuangkan hak-hak dan kebajikan mahasiswa.Jika bilangan 2,000 mahasiswa yang sedia ada tidak mampu diuruskan dengan baik,bagaimana pula pada masa akan datang dengan pertambahan mahasiswa/i baru?

Semoga isu ini dapat ditangani dengan segera.-admin
 


Blogger Template By LawnyDesignz